Pada Sabtu, 29 September 2024 pihak Majlis Keselamatan Negara Negeri Pahang, Jabatan Perdana Menteri telahpun menjalinkan kerjasama dengan Unit Pengajian Am Matrikulasi, Jabatan Sastera Ikhtisas & Sains Sosial (JSI&SS), Kolej Matrikulasi Pahang untuk mengadakan Program Pengukuhan Kemenjadian & Kesedaran Keselamatan Generasi Madani KMPh 2024 bertempat di Dewan Kuliah Besar 1, Kolej Matrikulasi Pahang. Program tersebut telah dihadiri oleh 5 orang pegawai dari Majlis Keselamatan Negara Negeri Pahang, dua orang penceramah jemputan, En Nasrul Isyam Abdul Hamid, Ketua Unit Pengajian Am Matrikulasi, 5 orang pensyarah Unit Pengajian Am Matrikulasi KMPh dan melibatkan penyertaan 300 orang pelajar KMPh.
Objektif program ini adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada pelajar yang merupakan generasi muda dan generasi masa depan negara tentang perkara berkaitan isu semasa mengenai keselamatan sama ada keselamatan jenayah seksual dan keselamatan penularan penyakit berjangkit. Yang paling penting program ini juga akan memberi penekanan tentang peri pentingnya menjaga keselamatan diri dan juga anggota masyarakat keseluruhannya.
Tepat jam 9 pagi, slot pertama yang bertajuk ‘Jenayah Seksual’ dimulakan oleh penceramah jemputan iaitu Insp. Nur Aishah binti A.Zulkefli yang merupakan Insp. (D11) siasatan seksual, wanita dan kanak-kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang. Banyak isu-isu semasa berkaitan jenayah terhadap kanak-kanak di bawah Akta Kanak-Kanak diperjelaskan. Juga diperincikan tentang jenayah seksual seperti jenayah gangguan seksual, amang seksual dan lain-lain. Slot ke-dua pula diteruskan oleh Dr Mohd Faizal bin Mohd Arif yang merupakan Pakar Perubatan Keluarga dari Klinik Kesihatan Bandar Jengka dengan tajuk ‘Penyakit HIV, Hepatitis C & Sexually Transmitted Infection(STI)’. Sesi soal jawab penceramah juga berlangsung dengan ceria dan mendapat perhatian para pelajar. Pelajar yang berjaya menjawab dengan betul akan diberikan hadiah oleh penceramah.
Di akhir program cenderamata disampaikan oleh pihak MKN buat penceramah jemputan, pihak kolej dan juga untuk semua pelajar. Pelajar turut diberikan sijil penyertaan dan makan minum yang ditaja oleh pihak Majlis Keselamatan Negara Negeri Pahang. Program telah ditamatkan tepat jam 1 petang. Harapan penganjur semoga program ini memberi impak yang berkesan kepada generasi muda dalam mendepani hidup yang semakin mencabar sekarang ini. Pihak kolej juga mengharapkan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang.





